Thursday, September 23, 2010

REDUP DI KEJAUHAN - Episod 4

“Kenapa Mak Wan tak kejutkan saya?” tanya Azhar dari belakang apabila mak Wan baru sahaja keluar dari pintu depan hendak mencari Pak Man.
“Maafkan Mak Wan... Mak Wan ingatkan Azhar tak nak pergi ke sekolah. Wah, kamu dah siap berpakaian sekolah dah. Hmmm...Baguslah. Kamu tak mahu bersarapan ke Azhar?” tanya Mak Wan sekadar melawa.
“Apa la Mak Wan ni... Mana pernah aku bersarapan pepagi macam ni! Itu pun Mak Wan tak boleh nak ingat ke?! Dah nyanyuk agaknya orang tua ni!” Keras dan biadap teguran Azhar Nur Iman terhadap Mak Wan pagi itu. Aku yang sedang memakai kasut, tersentap dibuatnya. Mak Wan hanya tersenyum padaku dan terus keluar mencari Pak Man.
“Azhar, awak cakaplah elok-elok dengan Mak Wan. Dia tu orang tua tau! Hormatlah sikit.” Aku memulangkan dulang paku serpih pada Azhar. Azhar merenung aku dengan tajam. Apa dia ingat aku hanya akan berdiam diri setelah dia berlaku kurang ajar pada orang yang lebih tua. Mana mungkin tidak.
“Apa kau peduli, ha? Sedarlah kau tu anak angkat je...jangan nak lebih sudu dari kuah pulak!” bengis sungguh mukanya.
“Terima kasih sebab ingatkan aku ni anak angkat. Aku malas la nak layan kau. Kalau kau lambat, nanti kau tak pergi sekolah. Jomlah, Mak Wan dah panggil kita tu. Pak Man pun dah ada kat sana.” Aku terpaksa mengalah. Ustazah Halimah kata, kita haruslah berhemah apabila mahu menyedarkan pihak lawan. Bak kata orang, guna cara halus. Guna akal, barulah boleh menang. Tak gitu?

Wednesday, September 22, 2010

REDUP DI KEJAUHAN - Episod 3

Bunyi jam menandakan sekarang masuknya waktu solat Subuh. Aku bingkas dari tempat peraduanku, pantas mengambil tuala mandi dan mengambil wuduk untuk menunaikan kewajiban sebagai seorang Muslim. Aku masih lagi teringat akan pesan Ustazah Halimah supaya jangan melengah-lengah waktu bersolat. Katanya, apabila di akhirat sana, jika kita melengah-lengahkan masa, Allah juga akan melambat-lambatkan masa hukuman kita. Aku akan ingat pesan ustazah sampai bila-bila.

“Alesya, dah siap ke belum? Mak Wan kena pastikan Alesya sarapan. Khuatir perut kamu tu kosong,” pesan Mak Wan. Aku menuruni tangga untuk ke meja makan. Rasa pelik. Mengapa aku seorang sahaja yang bersarapan sedangkan yang lain masih belum turun untuk turut serta. Adakah aku terlalu awal?

“Mak Wan, mana pergi semua orang? Papa dengan mama tak bersarapan sekali dengan Alesya ke? Azhar tak pergi sekolah ke?” Aku bertanya usai meneguk air Milo panas yang terletak di sebelahku yang dituangkan oleh Mak Wan.

“Pagi-pagi Alesya dah banyak tanya ni, kenapa? Oo... ni mesti dah rindu dengan papa dengan mama ye? Mak Wan rasa mereka masih lagi tidur. Ye lah, malam tadi kalau tak silap Mak Wan, Tuan Johari balik agak lewat. Katanya, ada mesyuarat dengan client. Puan Sabrina pula, Mak Wan tak tahu. Kalau Azhar, Mak Wan tahu. Dialah budak yang paling malas nak pergi ke sekolah. Selalu juga dia tidak ke sekolah. Saja-saja nak ponteng katanya.” Aku menggeleng tanda tidak setuju.

“Mana boleh ponteng sekolah macam tu Mak Wan. Tak ada kena tindakan disiplin ke Mak Wan?” Puas aku menunggu jawapan dari Mak Wan sambil memandangnya dengan khusyuk.

“Ada. Banyak kali jugalah. Tapi, bila pihak sekolah panggil tuan dan puan ke sekolah untuk berjumpa dengan pengetua sekolah, mereka tidak pernah ada kesempatan untuk berbuat demikian. Kadangkala kasihan juga Mak Wan tengok Azhar. Dia macam anak terbuang, sedangkan dia adalah anak kandung mereka berdua. Dan lagi terkejut Mak Wan bila tuan dan puan bercadang nak ambil seorang anak angkat.” Terang Mak Wan panjang lebar.

“Mak Wan tahu tak kenapa mereka mengambil saya jadi anak angkat mereka? Saya nak tahu sangat-sangat,” pujuk aku bersungguh-sungguh.

“Setahu Mak Wan, selepas puan melahirkan Azhar, tuan dan puan amat gembira sekali. Beberapa tahun kemudian, tuan mahukan anak perempuan pula. Setelah mereka mencuba, puan disahkan mengandung dan ketika itu Azhar baru berumur empat tahun. Tuan berhajatkan anak perempuan. Namun, malang yang menimpa puan kerana keguguran anak itu sewaktu kandungan berusia tujuh bulan. Akibat dari itu, puan dinasihatkan tidak mengandung lagi kerana sistem peranakan yang rosak akibat pembedahan. Kemudian...” Mak Wan menjeling ke arah jam dan mendapati ia sudah pukul tujuh pagi. “Alesya, nanti lewat nak ke sekolah ni sebab dengar cerita Mak Wan. Tak apa lah... nanti kita cerita lagi ye. Cepat pakai kasut. Mak Wan akan panggilkan Pak Man untuk kamu.”

Tiba-tiba...

REDUP DI KEJAUHAN - Episod 2

Sudah beberapa hari aku tinggal di sini. Aku sudah dapat mengagak mengapa Azhar jadi begitu. Mungkin juga kerana aku menjadi sebahagian daripada keluarga ini. Selama ini dia akan mendapat perhatian daripada kedua orang tuanya. Kini, dia terpaksa berkongsi kasih dengan aku. Kejamkah aku jika menumpang keluarganya sedangkan aku hanya menuruti kemahuan keluarga ini.

Apabila terkenangkan kembali kehidupan aku di asrama anak-anak yatim dengan keadaan di sini, ianya amat berbeza sekali. Di sana, aku terpaksa berebut dengan budak-budak yang lain bagi mendapatkan nasi dan lauk pauk. Di sini, keadaannya amat berbeza sekali bila mana makanan yang disediakan hanya untuk 3 orang, tetapi pinggan lauk-pauknya sampaikan satu meja pun tidak cukup ruang untuk diletakkan. Tidakkah aku manusia yang paling bertuah dalam dunia ini? Walau sebanyak manapun nikmat yang Allah berikan, aku tidak pernah lupa untuk sujud padanya memohon dipanjangkan umur dan tanda berterima kasih atas segala-gala.

Tiba-tiba aku teringatkan Azhar. Adakah dia seorang yang bersyukur dengan apa yang diberikan ini? Malangnya, aku jarang melihat dia menunaikan yang wajib. Termasuklah Tuan Johari dan juga Puan Sabrina. Aku tidak mahu menyalahkan mereka kerana sudah tentu mereka tahu akan tanggungjawab sebagai seorang Islam. Malah, aku juga tidak menyalahkan sesiapa pun dalam hal ini kerana setiap manusia perlu mendidik diri masing-masing dalam menentukan apa yang baik dan sebaliknya.

Walau bagaimanapun, aku sedikit terkilan kerana sudah tiga hari aku tidak bersua dengan Tuan Johari dan Puan Sabrina. Mungkin masing-masing sibuk dengan kerja yang telah dipertanggungjawabkan. Tapi, bagaimana dengan esok? Adakah aku akan ke sekolah berkeseorangan tanpa ditemani oleh sesiapa?

Tuesday, September 21, 2010

REDUP DI KEJAUHAN - Episod 1

Tanggal 7 Julai 2007, aku pilu mendengarkan kata-kata yang amat menyentuh hati oleh si dia. Aku tidak tahu mengapa air mata seakan sengaja ditumpahkan apabila ayat-ayat yang sepatutnya indah kurasakan amat pedih sekali untuk kudengari. Benarkah dia benar-benar menyintai diriku ataupun sebaliknya? Aku hidup dalam persoalan. Adakah dia jodoh yang Allah berikan padaku selama ini? Aku hilang dalam pertimbangan. Kadang kala haru biru aku dibuatnya. Baginya, aku hanyalah sebuah persinggahan yang mungkin tidak akan diperlukan suatu hari nanti.

Walaupun hatiku ini luka parah, tetapi aku tetap gagah mengharungi hidup ini selagi hayat yang ada. Aku akur kehendak Ilahi jika dia bukan milikku. Tapi siapa? Mungkinkah orang itu tidak wujud dan hanya aku yang tergapai-gapai mencarinya. Aku yang sedari tadi berdiri merasakan tubuhku ringan ibarat terawang-awang di udara. Ya! Aku terbang, tapi ke mana?

Apabila aku tersedar, aku berada di pangkuannya. Dia menangis untukku, mengapa? Adakah dia menyayangiku sepenuh hati dan tidak mahu meninggalkanku? Tapi mengapa sekarang perlu dia menunjukkan kasihnya sebegitu rupa? Aku semakin keliru. Barulah aku tahu bahawa aku di alam lain kini.

Di mana? Aku sedang melihat diriku di pangkuannya. Jadi, di mana ya? Makin keliru aku dibuatnya. Kenapa aku tidak berdaya sedangkan aku nampak diriku dipeluk erat olehnya? Sudah mati ke aku? Pelbagai persoalan yang datang menerjah ke kotak mindaku. Aku cuba menyentuhnya, tapi apakan daya tak kesampaian. Tidak sempat kuucapkan selamat tinggal padanya. Apakah ini petanda bahawa tiada jodoh di antara kami? Aku cuba untuk masuk semula ke dalam tubuhku. Namun, sia-sia belaka. Terlihat beberapa kelibat manusia mendekati dia. Oohh! Aku rasakan diriku semakin berat dan mungkin kali ini aku berjaya diselamatkan.

Tapi, untuk apa aku diselamatkan? Aku sebatang kara di dunia yang fana ini. Hidup yang hanya bertemankan seorang lelaki bernama Azhar. Ya, Azhar Nur Aiman. Hanya dia yang menjaga diriku sejak aku di bangku sekolah lagi. Pelik, tetapi itulah kenyataannya. Dia adalah lelaki yang aku kenal semasa aku diambil sebagai anak angkat oleh keluarganya.

Ketika aku diambil dari rumah anak-anak yatim, aku memang berharap aku dapat pindah dari tempat itu. Aku tahu yang aku akan mempunyai masa depan yang lebih cerah sekiranya aku dapat layanan yang baik dari keluarga angkatku. Apatah lagi mereka adalah dari golongan yang berada. Aku teramat bersyukur kepada Ilahi kerana permintaanku ditunaikan.

Sementelah tiba di rumah agam milik Tuan Johari, aku merasa amat gembira. Manakan tidak, segala-gala yang aku impikan menjadi kenyataan. Apatah lagi aku menjadi anak angkat seorang orang yang terkenal. Aku diperkenalkan pada Mak Wan, orang gaji di rumah itu. Semua permintaanku akan dipenuhi oleh Tuan Johari. Kawasan sekeliling amat cantik dan terpukau seketika aku melihatnya. Hatiku terdetik, “Kaya benar orang tua ini.” Kebanyakan perabot di rumahnya dibeli dari luar negara dan sudah tentu aku akan nampak bergaya jika tinggal di sini.

Semasa aku meninjau-ninjau keadaan di sekitar rumah, aku terpandang seorang budak lelaki yang lebih kurang sebayaku bermain di sebuah bilik.

“Mak Wan, siapa budak tu?” aku bertanya, ingin ambil tahu.

“Itulah Azhar Nur Aiman. Anak tunggal Tuan Johari. Kenapa Alesya tanya?”

“Oh... Ye ke? Sya ingatkan anak Mak Wan tadi. Mak Wan, kenapa rumah besar selalunya tak ramai orang yang tinggal ye?” Aku menyambung menduga Mak Wan.

“Entah la Alesya. Mak Wan pun tak tahu. Sebenarnya, Azhar tu dia agak pendiam. Dengan Mak Wan pun dia kurang bertegur sapa. Tapi, selalunya Mak Wan la yang tolong dia. Baik dari hal makan sampai la ke hal pakaian dia. Lagipun, Tuan Johari dan Puan Sabrina selalu tak ada di rumah. Mungkin juga dia kurang kasih sayang dari keluarganya. Itu sebablah pendiam tak tentu pasal.” Panjang betul cerita Mak Wan.

Takkanlah Azhar terlalu pendiam sehingga dengan Mak Wan pun dia tak bertegur sapa? Kenapa? Tidak gembirakah dia tinggal di sini? Entahlah... pelbagai andaian yang aku sedang buat. Apa masalah dia? Bolehkah aku membantu dia menangani masalahnya?