Wednesday, September 22, 2010

REDUP DI KEJAUHAN - Episod 2

Sudah beberapa hari aku tinggal di sini. Aku sudah dapat mengagak mengapa Azhar jadi begitu. Mungkin juga kerana aku menjadi sebahagian daripada keluarga ini. Selama ini dia akan mendapat perhatian daripada kedua orang tuanya. Kini, dia terpaksa berkongsi kasih dengan aku. Kejamkah aku jika menumpang keluarganya sedangkan aku hanya menuruti kemahuan keluarga ini.

Apabila terkenangkan kembali kehidupan aku di asrama anak-anak yatim dengan keadaan di sini, ianya amat berbeza sekali. Di sana, aku terpaksa berebut dengan budak-budak yang lain bagi mendapatkan nasi dan lauk pauk. Di sini, keadaannya amat berbeza sekali bila mana makanan yang disediakan hanya untuk 3 orang, tetapi pinggan lauk-pauknya sampaikan satu meja pun tidak cukup ruang untuk diletakkan. Tidakkah aku manusia yang paling bertuah dalam dunia ini? Walau sebanyak manapun nikmat yang Allah berikan, aku tidak pernah lupa untuk sujud padanya memohon dipanjangkan umur dan tanda berterima kasih atas segala-gala.

Tiba-tiba aku teringatkan Azhar. Adakah dia seorang yang bersyukur dengan apa yang diberikan ini? Malangnya, aku jarang melihat dia menunaikan yang wajib. Termasuklah Tuan Johari dan juga Puan Sabrina. Aku tidak mahu menyalahkan mereka kerana sudah tentu mereka tahu akan tanggungjawab sebagai seorang Islam. Malah, aku juga tidak menyalahkan sesiapa pun dalam hal ini kerana setiap manusia perlu mendidik diri masing-masing dalam menentukan apa yang baik dan sebaliknya.

Walau bagaimanapun, aku sedikit terkilan kerana sudah tiga hari aku tidak bersua dengan Tuan Johari dan Puan Sabrina. Mungkin masing-masing sibuk dengan kerja yang telah dipertanggungjawabkan. Tapi, bagaimana dengan esok? Adakah aku akan ke sekolah berkeseorangan tanpa ditemani oleh sesiapa?

No comments:

Post a Comment