Tanggal 7 Julai 2007, aku pilu mendengarkan kata-kata yang amat menyentuh hati oleh si dia. Aku tidak tahu mengapa air mata seakan sengaja ditumpahkan apabila ayat-ayat yang sepatutnya indah kurasakan amat pedih sekali untuk kudengari. Benarkah dia benar-benar menyintai diriku ataupun sebaliknya? Aku hidup dalam persoalan. Adakah dia jodoh yang Allah berikan padaku selama ini? Aku hilang dalam pertimbangan. Kadang kala haru biru aku dibuatnya. Baginya, aku hanyalah sebuah persinggahan yang mungkin tidak akan diperlukan suatu hari nanti.
Walaupun hatiku ini luka parah, tetapi aku tetap gagah mengharungi hidup ini selagi hayat yang ada. Aku akur kehendak Ilahi jika dia bukan milikku. Tapi siapa? Mungkinkah orang itu tidak wujud dan hanya aku yang tergapai-gapai mencarinya. Aku yang sedari tadi berdiri merasakan tubuhku ringan ibarat terawang-awang di udara. Ya! Aku terbang, tapi ke mana?
Apabila aku tersedar, aku berada di pangkuannya. Dia menangis untukku, mengapa? Adakah dia menyayangiku sepenuh hati dan tidak mahu meninggalkanku? Tapi mengapa sekarang perlu dia menunjukkan kasihnya sebegitu rupa? Aku semakin keliru. Barulah aku tahu bahawa aku di alam lain kini.
Di mana? Aku sedang melihat diriku di pangkuannya. Jadi, di mana ya? Makin keliru aku dibuatnya. Kenapa aku tidak berdaya sedangkan aku nampak diriku dipeluk erat olehnya? Sudah mati ke aku? Pelbagai persoalan yang datang menerjah ke kotak mindaku. Aku cuba menyentuhnya, tapi apakan daya tak kesampaian. Tidak sempat kuucapkan selamat tinggal padanya. Apakah ini petanda bahawa tiada jodoh di antara kami? Aku cuba untuk masuk semula ke dalam tubuhku. Namun, sia-sia belaka. Terlihat beberapa kelibat manusia mendekati dia. Oohh! Aku rasakan diriku semakin berat dan mungkin kali ini aku berjaya diselamatkan.
Tapi, untuk apa aku diselamatkan? Aku sebatang kara di dunia yang fana ini. Hidup yang hanya bertemankan seorang lelaki bernama Azhar. Ya, Azhar Nur Aiman. Hanya dia yang menjaga diriku sejak aku di bangku sekolah lagi. Pelik, tetapi itulah kenyataannya. Dia adalah lelaki yang aku kenal semasa aku diambil sebagai anak angkat oleh keluarganya.
Ketika aku diambil dari rumah anak-anak yatim, aku memang berharap aku dapat pindah dari tempat itu. Aku tahu yang aku akan mempunyai masa depan yang lebih cerah sekiranya aku dapat layanan yang baik dari keluarga angkatku. Apatah lagi mereka adalah dari golongan yang berada. Aku teramat bersyukur kepada Ilahi kerana permintaanku ditunaikan.
Sementelah tiba di rumah agam milik Tuan Johari, aku merasa amat gembira. Manakan tidak, segala-gala yang aku impikan menjadi kenyataan. Apatah lagi aku menjadi anak angkat seorang orang yang terkenal. Aku diperkenalkan pada Mak Wan, orang gaji di rumah itu. Semua permintaanku akan dipenuhi oleh Tuan Johari. Kawasan sekeliling amat cantik dan terpukau seketika aku melihatnya. Hatiku terdetik, “Kaya benar orang tua ini.” Kebanyakan perabot di rumahnya dibeli dari luar negara dan sudah tentu aku akan nampak bergaya jika tinggal di sini.
Semasa aku meninjau-ninjau keadaan di sekitar rumah, aku terpandang seorang budak lelaki yang lebih kurang sebayaku bermain di sebuah bilik.
“Mak Wan, siapa budak tu?” aku bertanya, ingin ambil tahu.
“Itulah Azhar Nur Aiman. Anak tunggal Tuan Johari. Kenapa Alesya tanya?”
“Oh... Ye ke? Sya ingatkan anak Mak Wan tadi. Mak Wan, kenapa rumah besar selalunya tak ramai orang yang tinggal ye?” Aku menyambung menduga Mak Wan.
“Entah la Alesya. Mak Wan pun tak tahu. Sebenarnya, Azhar tu dia agak pendiam. Dengan Mak Wan pun dia kurang bertegur sapa. Tapi, selalunya Mak Wan la yang tolong dia. Baik dari hal makan sampai la ke hal pakaian dia. Lagipun, Tuan Johari dan Puan Sabrina selalu tak ada di rumah. Mungkin juga dia kurang kasih sayang dari keluarganya. Itu sebablah pendiam tak tentu pasal.” Panjang betul cerita Mak Wan.
Takkanlah Azhar terlalu pendiam sehingga dengan Mak Wan pun dia tak bertegur sapa? Kenapa? Tidak gembirakah dia tinggal di sini? Entahlah... pelbagai andaian yang aku sedang buat. Apa masalah dia? Bolehkah aku membantu dia menangani masalahnya?
No comments:
Post a Comment